PETRONAS Lubricants International (PLI), anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kini memperkenalkan rangkaian pelincir Petronas Sprinta menerusi Petronas Mesra Official Shop di platform Shopee, antara pasaran digital terkemuka Asia Tenggara dan Taiwan.

Ketua PLI bagi Asia-Pasifik, Ikhwan Hamzah Azizan berkata, ini e-dagang kali pertama bagi rangkaian pelincir Petronas dan langkah jualan menerusi Shopee itu sebahagian usaha penting syarikat meningkatkan jualan produk pelincir melalui platform sesuai.

“Hari ini ada 16.5 juta pembeli dalam talian di Malaysia dengan permintaan semakin meningkat untuk lebih pengalaman dan keselesaan.

“Kami mahu mendapatkan permintaan pelanggan dalam talian yang semakin bertambah terutama mereka yang memiliki akses terhad kepada bengkel konvensional atau stesen runcit, untuk memastikan produk kami mudah didapati di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, PLI bekerjasama dengan Grab Malaysia (Grab) menawarkan baucar potongan 99 peratus kepada rakan penghantar Grab yang layak bagi pembelian pelincir Petronas Sprinta di Petronas Mesra Official Shop.

Baucar diskaun bernilai RM70,000 itu terhad kepada 2,000 botol bagi pembelian mulai 12 Mei hingga 25 Mei 2020.

Ikhwan Hamzah berkata, inisiatif itu seiring usaha PLI membantu mengurangkan beban mereka yang terjejas pandemik Covid-19.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakan penghantar Grab adalah wira kita yang berada di jalan untuk membuat penghantaran ke kediaman rakyat Malaysia.

“Ini tanda kecil kami dalam menyokong dan menghargai pengorbanan serta sumbangan mereka,” katanya.

Tawaran dalam talian bagi rangkaian pelincir Petronas Sprinta adalah termasuk Petronas Sprinta F900, F700, F300, A700 dan T500, berharga di antara RM17 dengan RM64 untuk segmen 4T, 2T dan skuter.