Kuching: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan anak syarikatnya menyelesaikan pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) untuk produk petroleum bagi tahun lalu kepada Sarawak, hari ini.

SST bernilai RM2.9 bilion itu dinilai comptoller sesuai dengan Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pembayaran SST oleh Petronas dan anak syarikatnya itu adalah hasil penyelesaian yang dicapai di antara syarikat terbabit, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Beliau berkata, dalam rundingan antara tiga pihak itu, Petronas bersetuju untuk menarik balik rayuan semakan kehakimannya ke Mahkamah Rayuan.

“Jumlah SST yang dibayar Petronas dan anak syarikatnya adalah sebanyak RM 2,956,671,407.36.

“SST untuk tahun ini pula akan dibayar apabila penilaian dibuat berdasarkan jumlah produk petroleum yang dijual dan nilai penjualan produk itu,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam kenyataan selepas majlis ringkas penyerahan cek SST oleh Petronas kepada kerajaan negeri di Wisma Bapa Malaysia, dekat sini, hari ini.

Cek berkenaan diserahkan Pengerusi Petronas Tan Sri Ahmad Nizam Salleh kepada Abang Johari dengan disaksikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku M Taufik Tengku Aziz serta pegawai kanan Petronas yang lain.

Abang Johari berkata, kini kerajaan negeri fokus kepada perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencapai penyelesaian komersial mengenai hal-hal lain yang berkaitan dengan minyak dan gas yang dijumpai dan dihasilkan di Sarawak.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Shell, Murphy Oil, Pertamina dan Sapura OMV yang sebelumnya mematuhi dan melunaskan cukai yang dikenakan negeri ini.