Kuala Lumpur: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan perkhidmatan Pesan & Ambil di mana pelanggan boleh membuat pesanan untuk barangan keperluan dapur melalui WhatsApp dan mengambil pesanan itu pada hari yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie berkata, penawaran itu boleh didapati di 53 daripada 60 cawangan Tesco di seluruh negara dan menjadi alternatif untuk pelanggan yang mahukan pengalaman membeli-belah tanpa kerumitan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di Tesco, kami bekerja sepanjang masa untuk membantu dan memastikan keluarga pelanggan mempunyai akses kepada barangan keperluan dapur diperlukan, terutama dalam tempoh PKP.

“Dengan perkhidmatan Pesan & Ambil pelanggan boleh mengurangkan masa pendedahan mereka di luar dan mengekalkan penjarakkan sosial mereka. Perkhidmatan ini yang dilancarkan di cawangan kami pada awal minggu ini menyaksikan lebih 1,000 pelanggan memilih untuk Pesan & Ambil,” katanya.

Menurutnya, melalui Pesan & Ambil, pelanggan boleh menghubungi cawangan Tesco terdekat dan membuat pesanan menerusi WhatsApp.

Buat masa ini, setiap cawangan Tesco hanya dapat mengambil 100 pesanan pertama sehari, dengan maksimum 25 barangan keperluan dapur setiap pesanan.

Apabila menerima pesanan pelanggan, seorang Pembeli Peribadi Tesco memberi anggaran masa pengambilan dan menghantar kod bar peribadi untuk harga keseluruhan melalui WhatsApp.

Pelanggan boleh datang ke cawangan Tesco yang dipilih, teruskan ke kaunter bayaran khusus untuk Pesan & Ambil, tunjukkan kod bar dan bayar sama ada melalui wang tunai, kad debit, kad kredit atau e-dompet.

Katanya, pelanggan boleh membuat pesanan melalui WhatsApp antara jam 8 pagi hingga 4 petang setiap hari dengan pengambilan sebelum 6 petang pada hari sama.

Tiada caj perkhidmatan lebih dikenakan untuk perkhidmatan ini.

Sementara itu, aplikasi Scan & Shop Tesco yang membolehkan pelanggan mengimbas barang dan membayar tanpa bantuan juruwang melihat kenaikan penggunaan sebanyak tiga kali sepanjang PKP kerana pelanggan mengamalkan penjarakkan sosial.