Menurut Shamsiah, kedudukan ekonomi Malaysia selari dengan kedudukan kebanyakan ekonomi dunia yang turut melaksanakan langkah kawalan pergerakan. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia susut kepada 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 4.5 peratus yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Menurut Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunos, penurunan mendadak itu disebabkan langkah yang diambil bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kesan kepada pertumbuhan. Selepas kita menyaksikan pengembangan ekonomi pada dua bulan pertama, aktiviti ekonomi jatuh mendadak susulan pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2020.

“Sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik, waktu kerja terhad serta penjarakan sosial wajib amat menjejaskan kedudukan ekonomi.

“Pengeluaran juga hanya dibenarkan untuk barangan dan perkhidmatan asas,” kata Shamsiah dalam sidang media dalam talian di sini hari ini.

Shamsiah berkata, kedudukan ekonomi Malaysia itu selari dengan kedudukan kebanyakan ekonomi dunia yang turut melaksanakan langkah kawalan pergerakan.

Inflasi bagi suku pertama berada pada 0.9 peratus disumbang baki kesan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Sementara itu, ringgit susut sebanyak 4.9 peratus berbanding dolar AS pada suku pertama susulan tindakan aliran keluar portfolio bukan pemastautin bernilai RM26.2 bilion.

“Meskipun beberapa langkah sudah dilakukan kebanyakan negara, namun sentimen pelabur masih terjejas akibat kelemahan ketidaktentuan unjuran global,” kata Shamsiah.

Shamsiah juga berkata, Bank Negara meramalkan pertumbuhan ekonomi dijangka beransur pulih menjelang separuh kedua 2020.

“Apabila langkah kawalan dilonggarkan, aktiviti ekonomi dijangka bertambah baik secara beransur-ansur menjelang separuh kedua 2020,” kata Shamsiah.

Tambah beliau, ia akan disokong langkah fiskal, monetary dan pertumbuhan global yang semakin pulih sekali gus membawa kepada pemulihan besar menjelang 2021.