MALAYSIA boleh menjangkakan peningkatan ketara pelaburan dari Jepun sekiranya prosedur berkaitan pelabur baharu dipermudahkan dan diperkemaskan, kata Duta Jepun di Malaysia, Hiroshi Oka.

Beliau berkata, kerajaan Jepun turut melakukan sebaik mungkin untuk menggalakkan pelaburan baharu ke Malaysia yang sejak akhir-akhir ini dipelbagaikan daripada sektor elektrik dan elektronik konvensional kepada antaranya beberapa industri yang lebih pelbagai.

“Masih ada ruang bagi penambahbaikan untuk pelaburan baharu berpotensi direalisasikan. Contohnya, memperkemaskan dan memudahkan prosedur berkaitan pelabur seperti penubuhan pusat perkhidmatan sehenti.

“Daripada mendapatkan banyak kebenaran yang diperlukan bagi pelaburan baharu dengan mengunjungi dan berunding dengan banyak pejabat kerajaan, malah langkah itu kerap menjadi proses mengambil masa yang panjang, jadi, jika perkhidmatan sehenti diwujudkan, ia akan menguruskan semua kelulusan diperlukan selain membantu pelabur baharu,” katanya kepada Bernama.

Beliau mencadangkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama boleh berperanan sebagai pusat sehenti termasuk untuk sektor bukan pembuatan, menguruskan segala prosedur dan birokrasi supaya memudahkan pelabur baharu.

“Sudah tentu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Mida serta semua agensi yang relevan di bawah kementerian itu membantu dalam menggalakkan perniagaan Jepun datang dan beroperasi di sini,” katanya.