DALAM usaha memerangi pendemik Covid-19, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu membuatkan rakyat negara ini berdepan dengan kehidupan baru iaitu duduk di rumah dan hanya keluar jika ada keperluan penting.

Pelaksanaan PKP juga menyebabkan banyak aktiviti ekonomi dihentikan sekali gus memberi impak besar buat peniaga, majikan dan juga negara.

Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan 4 Mei lalu memberi sinar baru dan kini hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, tetapi perlu mematuhi syarat prosedur standard operasi (SOP) ketat ditetapkan kerajaan.

Tuntutan mematuhi SOP yang dikuatkuasakan iaitu syarikat dikehendaki mengambil suhu badan setiap pekerja, perlu sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial
nampak mudah, tetapi pelaksanaannya terutama kepada syarikat besar adalah rumit.

Ketua Pegawai Eksekutif KipleLive Ti Lian Seng berkata kerajaan sudah menyiapkan SOP untuk dipatuhi dan kini peniaga serta majikan pula yang harus memainkan peranan dalam memastikan keselamatan bukan saja pekerja, tetapi juga premis perniagaan.

“Oleh itu, kebanyakan majikan mengehadkan kehadiran pekerja dengan mengamalkan sistem penggiliran di mana separuh bekerja di pejabat dan selebihnya di rumah sekali gus melaksanakan penjarakan sosial.

“Bagaimanapun, kesukaran dihadapi majikan sekarang adalah pematuhan SOP yang ditetapkan. Bayangkan saja syarikat itu punya pekerja yang ramai, mereka terpaksa mengambil suhu badan dan merekod tahap kesihatan setiap pekerja, ia pastinya memakan masa yang lama sekali gus mengganggu operasi.

“Justeru, Green Packet Bhd tampil dengan penyelesaian dan solusi menyeluruh terhadap permasalahan itu dengan memperkenalkan Penyelesaian Pengimejan Terma,” katanya.

Menurut Lian Seng, selain individu, syarikat juga perlu menyesuaikan diri dengan norma
baru terutama dalam penyesuaian perubahan dalam organisasi mereka.

“Selain SOP, majikan
juga berhadapan dengan masalah keperluan menguruskan peraturan baru di tempat kerja, bimbang berlaku risiko jangkitan dalam kalangan kakitangan dan tidak bersedia dari segi pengurusan krisis.

“Jadi, dalam hal ini pendekatan teknologi digital adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah, sekali gus mampu meringankan beban mereka selain memendekkan masa untuk memastikan pekerja mematuhi SOP,” katanya.

Kata Lian Seng, bagi mengurangkan risiko jangkitan, imbasan terma dan akses tanpa sentuhan perlu diaplikasikan
di premis kerja.

“Kalau dilihat, kini proses pengambilan suhu badan dan merekodkan maklumat penting pekerja dilakukan secara manual. Ia juga bukan saja membebankan serta merisikokan pekerja tetapi proses merekod maklumat mungkin tidak lengkap serta kurang cekap terutama membabitkan jumlah individu yang terlalu ramai.

“Dengan Penyelesaian Pengimejan Terma KipleLive ini, ia mengintegrasikan pengecaman wajah AI selain memanfaatkan sistem pengawasan canggih menjadikan pemantauan suhu dan mengenal pasti individu dengan lebih efisien walaupun dengan pelitup muka,” katanya.

Lian Seng berkata, pengimbasan terma itu juga berupaya mengimbas dan merekod suhu individu pada kadar yang cepat dan tepat termasuk mengenal pasti orang yang berpotensi dijangkiti.

“Ciri pengecaman wajah juga membolehkan kehadiran pekerja direkodkan serta-merta dan menguruskan prosedur masuk dan keluar pelawat tanpa perlu mengisi borang,” katanya.

KipleLive menawarkan empat Penyelesaian Pengimejan Termal yang sesuai untuk tujuan yang berbeza.

Sensetime Nebula-M, ia sesuai untuk kegunaan tempat awam dan terbuka seperti stesen kereta api, stesen bas, hospital serta lapangan terbang.

Dengan jarak pengukuran tiga meter, peranti ini mampu mengesan sehingga 10 orang serentak dalam tempoh sesaat dan berupaya merekod sehingga 300,000 data ditawarkan pada harga RM180,000.

Bagi SenseThunder-E dan SenseThunder-E Mini pula, kedua-duanya sesuai digunakan untuk kawasan terhad seperti pintu masuk bangunan, pusat beli-belah, hotel dan bangunan kerajaan.

Ditawarkan pada harga RM48,000 dan RM18,000 seunit, peranti ini mampu hanya mengukur seorang individu dalam satu masa tetapi dengan kepantasan sehingga 30 orang bagi tempoh seminit.

Penyelesaian Pengimejan Termal keempat yang ditawarkan pula adalah KipleLive Thermal FR Scanner, sesuai untuk kawasan kecil dan kawasan yang memerlukan jumlah peranti banyak seperti perusahaan kecil dan sederhana PKS), sekolah dan kilang.

KipleLive Thermal FR Scanner ini hanya boleh mengukur seorang individu dalam satu masa, tetapi kepantasannya sehingga
30 orang dalam tempoh seminit dengan jarak pengukuran 0.5 meter. Ia ditawarkan pada harga RM6,800 seunit.

Selain pembelian secara tunai, peranti ini juga ditawarkan dengan pelan pada kadar sewaan mengikut tempoh masa iaitu enam bulan, 12
atau 24 bulan.

Kadar sewa bulanan juga adalah berbeza mengikut pakej dipilih bermula dari serendah RM449.

Bayaran sewa bulanan itu juga sudah termasuk jaminan dan sokongan serta penyelenggaraan perisian dan perkakasan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari ready.greenpacket.com.