Kuala Lumpur: Kerajaan membuka semula permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) bagi golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro mulai 1 hingga 31 Oktober ini.

Bayaran disasarkan dibuat mulai 25 November ini.

Permohonan itu dibuka bagi memberi peluang lebih ramai peniaga PKS mikro yang layak, tetapi belum berkesempatan untuk mendapatkan GKP.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika beliau turun ke padang dan bergaul dengan usahawan di peringkat akar umbi, beliau menerima rungutan ada usahawan yang tidak menerima bantuan berkenaan kerana tidak sempat membuat permohonan.

“Terdapat juga peniaga yang tidak memenuhi syarat terdaftar sebelum 1 Januari lalu.

“Mengambil kira maklum balas yang diterima, GKP akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga 31 Ogos lalu,” katanya dalam Pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin, semalam.

Menurutnya, pembukaan semula inisiatif GKP untuk permohonan baharu ini, dijangka dapat memanfaatkan lebih 200,000 peniaga mikro dengan membabitkan peruntukan hampir RM600 juta.

Di bawah pakej Prihatin PKS Tambahan yang diumumkan April lalu, kerajaan menyediakan GKP khusus untuk membantu mereka meringankan beban kewangan akibat penularan wabak Covid-19.

Permohonan untuk GKP yang dibuka pada 1 Mei hingga 15 Mei lalu dengan kadar bantuan berjumlah RM3,000 setiap peniaga mikro memanfaatkan 545,000 peniaga kecil seluruh negara dengan jumlah bantuan RM1.63 bilion.