PERMINTAAN untuk sarung tangan getah akan terus meningkat sekurang-kurangnya setahun lagi, di sebalik kebimbangan berterusan ke atas pandemik Covid-19 serta pembukaan lebih banyak perniagaan.

Kenanga Research dalam satu nota berkata, purata harga jualan industri (ASP) bagi sektor sarung tangan melonjak dari bulan ke bulan dalam jangkaan penawaran lebih ketat dan purata permintaan luar biasa disebabkan pandemik.

Oleh itu, dengan asas pelanggan yang pelbagai, firma penyelidikan itu menjangkakan Supermax, yang juga pengeluar sarung tangan getah kedua terbesar di dunia kekal mempunyai kuasa harga lebih baik, berpotensi bagi peningkatan berbanding ASP industri.

Katanya, ASP industri dalam tempoh beberapa bulan akan datang terus berada pada tahap tertinggi iaitu antara lima hingga 15 peratus berbanding kenaikan lima peratus sebulan sebelum ini, disokong oleh pendapatan daripada pembuatan serta pengedaran.

Berikutan pandemik, firma penyelidikan itu memberitahu, Supermax banyak menerima pertanyaan daripada agensi kerajaan asing, pertubuhan bukan kerajaan, peruncit dan rangkaian restoran.

“Berdasarkan persaingan permintaan, pembeli sanggup membayar deposit 30 peratus dan 50 peratus bagi menjamin bekalan sarung tangan dan penghantaran tepat pada masanya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19