PETRON Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) melaporkan jumlah jualan enam juta tong pada suku kedua 2020, lebih rendah berbanding 9.2 juta tong pada tempoh sama tahun lalu akibat permintaan bahan bakar yang rendah ekoran langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi PMRMB, Ramon S Ang berkata, lebihan bekalan dan permintaan yang rendah menyebabkan minyak mentah Dated Brent jatuh ke paras terendah pada AS$19 setong pada April sebelum pulih sedikit pada Mei dan Jun dengan harga purata AS$29 setong pada suku kedua.

“Kami mengakhiri suku kedua dengan hasil RM1 bilion, turun RM3 bilion daripada jumlah yang dicatatkan pada tempoh sama 2019 di mana wabak Covid-19 terus memberi kesan negatif terhadap harga minyak mentah dan permintaan domestik.

“Oleh kerana kerugian inventori, syarikat mencatatkan kerugian kasar sebanyak RM68 juta dalam tempoh berkenaan, iaitu penarikbalikan keuntungan kasar RM134 juta tahun lalu.

“Jumlah ini dikurangkan dengan langkah rasionalisasi kos yang berterusan di mana perbelanjaan operasi menurun sebanyak 21 peratus atau RM14 juta.

“Penjimatan ini, bersama dengan pemulihan dalam jumlah jualan dan harga pada bulan Jun membantu mengurangkan kerugian bersih syarikat pada suku kedua kepada RM69 juta daripada kerugian RM84 juta pada suku pertama,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, mulai Jun, pihaknya melihat sedikit peningkatan dalam prestasi ekoran kawalan pergerakan yang dilonggarkan.

“Kami mampu untuk mengembalikan syarikat ke paras keuntungan pada bulan Jun selepas melalui separuh tahun pertama 2020 yang mencabar.

“Kami akan terus memberi fokus untuk membantu syarikat pulih daripada kesan ekonomi Covid-19 dan menyusun semula strategi untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran.

“Meskipun persekitaran mencabar, kami akan terus berkhidmat kepada pelanggan serta melindungi keselamatan pekerja dan komuniti kami.

“Kami juga komited untuk terus mencari peluang bagi menyumbang kepada negara dengan menyalurkan bantuan kepada barisan hadapan dan individu yang kurang bernasib baik ketika keadaan yang sukar ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan