Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) terus mempergiat peranannya sebagai pengantara berasaskan nilai dengan mewujudkan penyelesaian berasaskan platform yang memperluaskan lagi akses masyarakat terhadap rangkaian produk patuh syariah yang berlandaskan perkongsian risiko dan kesaksamaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam, melalui CDX, sudah melantik rakan strategik terkemuka seperti Mambu, Experian dan Pod untuk menangani keperluan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan.

“Kami yakin bahawa menerusi kerjasama ini, Bank Islam dapat menyediakan akses lebih luas kepada pasaran dengan memanfaatkan teknologi digital.

“Usaha ini juga akan terus mendorong transformasi digital sektor kewangan, terutamanya dalam industri perbankan Islam.

“Dengan kepakaran Bank Islam dalam bidang pengurusan risiko dan hal-hal yang berkaitan dengan Syariah, ditambah dengan teknologi Pod dan platform perbankan SaaS Mambu yang mantap, kerjasama ini dapat memperkenalkan dan mempromosikan penyelesaian kewangan Islam yang sesuai dengan segmen sasaran.

“Kami juga percaya bahawa kerjasama ini akan menjadi contoh untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan firma fintech dengan institusi kewangan yang akhirnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Bank Islam juga baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan penggiat fintech tempatan, Pod, untuk membangunkan penawaran produk digital baharu.

Pendekatan digital ini akan menyaksikan Bank Islam menerapkan teknologi generasi terbaharu seperti perbankan digital Cloud Native dan sistem pengesahan identiti digital (eKYC) pada produk dan perkhidmatannya.

Penyelesaian eKYC membolehkan pelanggan membuka akaun bank tanpa perlu hadir ke cawangan bank.

Untuk produk pula, CDX sedang membangunkan model pemarkahan kredit alternatif dengan kerjasama Pod.

Melalui kerjasama ini, CDX dan Pod akan meneroka penyelesaian untuk pelanggan yang terdiri daripada segmen kurang mendapat perkhidmatan perbankan seperti pekerja sambilan (gig workers).

Ini akan dilakukan dengan mengenal pasti kaedah alternatif untuk menilai kelayakan kredit segmen pelanggan terbabit dengan menggunakan kaedah di luar cara tradisional, pada masa sama turut menyediakan fleksibiliti dan kemasukan dalam sistem perbankan formal untuk segmen ini.