KERAJAAN memperuntukkan RM295 bilion secara keseluruhan untuk melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan RM45 bilion suntikan fiskal langsung.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan Pakej Prihatin masih berterusan sejajar pelaksanaan Penjana.

“Ada langkah Prihatin yang berjalan sehingga Jun dan ada sehingga September.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri minggu lalu, di bawah Pakej Prihatin, lebih 2.4 juta pekerjaan diselamatkan, lebih 11 juta rakyat menerima bantuan bagi mengurangkan beban aliran tunai dan lebih 300,000 syarikat dibantu. Insya-Allah, usaha ini berterusan,” katanya.

Menurutnya, Penjana adalah pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang dilaksanakan antara Jun dan Disember 2020.

“Bagi langkah memperkasakan rakyat, tumpuan khusus diberi kepada pekerjaan dan sehubungan itu, kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang memanfaatkan tiga juta tenaga pekerja, manakala bagi perniagaan, pelbagai inisiatif tersedia untuk membantu syarikat bersaiz besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro,” katanya dalam perkongsian Laporan Laksana Kelapan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di Facebooknya semalam.

Namun, Tengku Zafrul berkata, ada beberapa inisiatif di bawah Prihatin dianjakkan ke bawah Penjana untuk pelaksanaan lebih efektif demi manfaat kumpulan sasar.

“Pertama ialah Program Pengekalan Pekerja atau Employment Retention Programme (ERP) Perkeso.

“Kerajaan membuat keputusan menyatukan ERP ke dalam program Subsidi Upah yang ditambah baik di bawah Penjana.

“Berkuat kuasa 15 Jun 2020, program Subsidi Upah kini membenarkan majikan memohon bantuan untuk pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji,” katanya.

Langkah kedua yang dianjakkan ke Penjana adalah konsolidasi program fasiliti dan bantuan pembiayaan untuk perniagaan termasuk PKS.

“Di bawah Prihatin, pembiayaan RM7 bilion untuk membantu PKS diberikan melalui Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan. Di bawah Penjana pula, kerajaan peruntukkan RM10.95 bilion.

“Memandangkan ada pelbagai agensi dan jenis bantuan pembiayaan ditawarkan, kerajaan mengambil keputusan menyelaraskan semua program pembiayaan daripada agensi kerajaan untuk perniagaan di bawah satu payung, iaitu Penjana,” katanya.