SUGARSCOOP Ice Cream (Sugarscoop) merancang memperluas rangkaiannya ke seluruh negara menerusi sistem francais bermula tahun depan.

Pengasasnya, Nur Jannah Sanusi berkata, sejak berada di pasaran pada 2017 dengan satu cawangan di Tangkak, Johor, Sugarscoop terus mendapat perhatian penggemar aiskrim.

Katanya, sebagai permulaan pihaknya akan membuka cawangan Sugarscoop di Jasin, Melaka awal tahun depan diikuti Kedah dan Perak.

“Untuk memenuhi permintaan pelanggan, kami juga bersedia menawarkan mereka yang berminat menjadi rakan niaga Sugarscoop dengan modal hanya RM15,000 secara francais. Kami akan bekalkan mesin, bahan serta bimbingan pasaran untuk francaisi. Kelebihan produk di bawah jenama Sugarscoop adalah semua aiskrim yang dijual dihasilkan sendiri termasuk bancuhan dan setakat ini terdapat 10 perisa disediakan.

“Malah, rasa aiskrim Sugarscoop ini setanding dengan kualiti ternama di pasaran namun dijual pada harga mampu milik iaitu serendah RM6.90 supaya lebih ramai penggemar ais krim dapat menikmati kelazatan produk yang ditawarkan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Nur Jannah berkata, setiap bulan pihaknya akan mengeluarkan perisa berbeza untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang terdiri daripada semua peringkat usia.

Beliau berkata, selain soft ice cream Sugarscoop juga akan mengeluarkan aiskrim jenis popsicle.