Chris (gambar) pada masa sama berpandangan pakej rangsangan ekonomi ketiga itu juga akan membantu krisis aliran tunai yang semakin menyusut lantaran kuasa membeli yang semakin melemah. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi ketiga dalam masa terdekat bagi mengelakkan lebih banyak usahawan mikro gulung tikar.

Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Daniel Wong berkata pelaksanaan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang diumumkan menerusi Pakej PRIHATIN PKS Tambahan juga perlu ditambah baik.

“Sekarang ini kita lihat terutamanya perniagaan mikro amat parah. Saya rasa nak sampai sambutan Hari Raya Aidilfitri pun tak sempat.

“Saya telah mendapat banyak maklum balas yang mereka ini amat memerlukan bantuan seperti makanan asas menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Jadi tidak usahlah kita tunggu sampai lepas Raya, mungkin polisi sebelum ini di bawah pakej rangsangan kedua boleh dipercepatkan terutamanya bantuan  Skim Pinjaman Mikro Kredit kepada usahawa mikro melalui Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi indikasi bahawa Kerajaan bakal mengumumkan pelan pemulihan ekonomi terbaharu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitiri.

Ujarnya pelan berkenaan merupakan inisiatif penting bagi merancakkan semula ekonomi negara yang mungkin memakan masa sekurang-kurangnya dua ke tiga minggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Chris pada masa sama berpandangan pakej rangsangan ekonomi ketiga itu juga akan membantu krisis aliran tunai yang semakin menyusut lantaran kuasa membeli yang semakin melemah.

“Apabila orang ramai tidak mempunyai aliran tunai yang kuat sebab majikan tidak boleh hendak bayar gaji mereka…sebab apa majikan tidak dapat bayar pekerja mereka?

“Sebab tidak dapat bantuan pinjaman daripada kerajaan. Jadi pasaran tiada aliran tunai.

“Dalam masa 6 bulan terdekat ini kita akan nampak keadaan yang hambar keadaan yang sukar dimana pihak PKS tidak dapat hendak tampung aliran tunai tersebut,” ujarnya.

Mengikut rekod, sehingga 29 April lalu, daripada RM700 juta kredit mikro yang ditawarkan pada kadar faedah 0 peratus oleh BSN dan TEKUN Nasional, sebanyak RM132 juta telah diluluskan.

Daripada jumlah ini, BSN telah meluluskan RM90 juta kepada 2,000 PKS mikro dan TEKUN telah meluluskan RM42 juta kepada 5,000 PKS mikro berbanding sekitar 90,000 usahawan yang berdaftar.