PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan Gerakan #SayaDigital bertujuan mempercepat pertumbuhan masyarakat digital di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penularan pandemik Covid-19 yang hingga kini belum menunjukkan tanda akan pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia juga menjejaskan pelbagai sektor serta kehidupan rakyat termasuk jumlah yang hilang pekerjaan melonjak kepada 778,800 pada April lalu iaitu bersamaan dengan lima peratus.

“KKMM turut mengambil bahagian dalam usaha membantu rakyat menerusi agensinya iaitu MDEC yang sudah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan pendigitalan.

“Oleh itu, saya menyambut baik pelancaran Kempen #SayaDigital ini yang tepat pada masanya ketika seluruh dunia membincangkan mengenai ekonomi digital.

“Peningkatan permintaan dalam sektor ini akan menjana ekonomi negara seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan rekod, ekonomi digital Malaysia mencatatkan peningkatan sekitar 21 peratus setiap tahun.

Kempen #SayaDigital mempunyai empat tujuan utama iaitu Digital Memudahkan Kehidupan, Digital Menambah Pendapatan, Digital Memperkasakan Kerjaya dan Digital Meluaskan Perniagaan.

Pelaksanaan program itu bermula hari ini hingga 30 Ogos membabitkan acara seperti The Young Creators, Minggu #MYDigitalWorkforce dan Ekspo Gig dan Freelance (GFX).

Ia akan menumpukan perhatian usaha memupuk kemahiran bakat digital, meningkatkan kemampuan rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan berdasarkan kemampuan mereka dengan pekerjaan digital yang sesuai.