XIAOMI melancarkan telefon pintar terbaharu, Mi 10T dan Mi 10T Pro, peranti paling berkuasa di pasaran Malaysia ketika ini dan boleh mula didapati di pasaran mulai Jumaat ini.

Mi 10T dan Mi 10T Pro masing-masing ditawarkan pada harga RM1,699 dan RM1,999.

Ketua Serantau Asia Tenggara, K M Leong berkata, Mi 10T dan Mi 10T Pro yang menjadi model utama Xiaomi menjadi antara telefon pintar berprestasi tinggi terbaik dalam kelasnya.

Katanya, kedua-dua model itu ditawarkan dengan pelbagai aspek terbaik dari segi pemproses hingga harga bakal memberi saingan kepada ‘status quo’ pasaran telefon pintar.

“Mi 10T dan Mi 10T Pro hebat dalam semua aspek. Ia menjadi peranti utama peringkat berikutnya dalam teknologi 5G yang bakal mewujudkan persaingan dalam pasaran peranti mudah alih di Malaysia.

“Tampil dengan spesifikasi premium, tetapi harga mampu milik, Mi 10T dan Mi 10T Pro dijangka menawarkan pengalaman pelanggan dalam segenap keperluan,” katanya ketika melancarkan model terkini Xiaomi di sini, semalam.

Mi 10T tampil dengan kamera utama 64 megapiksel (MP) manakala Mi 10T Pro dengan 108MP, pertama seumpamanya untuk telefon pintar di dunia.

Bagi Mi 10T Pro, peranti itu hadir dengan legasi resolusi ultra tinggi dengan OIS dan sokongan video 8K.

Mi 10T dan Mi 10T Pro ditawarkan dengan tetapan tiga kamera dengan kamera sudut lebar ultra 13MP, kamera makro 5MP dan kamera depan 20MP, menawarkan gambar lebih jelas.

Lebih menyeronokkan, kedua-dua telefon pintar itu memiliki ciri perisian fotografi baharu dan dinamik, antaranya mod Long Exposure, Moving Crowd, Star Trails, Photo Clones dan Timed Burst.

Bagi menjadikan video lebih menarik, Mi 10T dan Mi 10T Pro menawarkan beberapa fungsi unik iaitu Clones Video yang boleh klon subjek dalam satu video, Dual Video yang membolehkan rakaman dibuat serentak menggunakan kamera depan dan belakang dan video swafoto Time-lapse.

Mi 10T dan Mi 10T Pro menggunakan set cip Qualcomm Snapdragon 865 yang menawarkan kecekapan tenaga, prestasi dan keterhubungan 5G.

Dari aspek bateri pula, kedua-dua model ini memiliki kapasiti bateri 5,000mAh yang menawarkan ketahanan lebih lama, selain hadir dengan teknologi MMT (Middle Middle Tab) serta pengecas pantas 33W.

Xiaomi juga akan mengadakan siri jelajah terbesar di Malaysia bermula esok hingga 11 Oktober di LG2 Blue Concourse Sunway Pyramid di mana pelanggan akan menerima hadiah premium bagi pembelian yang dilakukan di lokasi atau di platform e-dagang rasmi.