Shah Alam: Pembelian petrol minimum RM5 menggunakan kad MyDebit ATM di mana-mana 720 cawangan stesen Petron di seluruh negara melayakkan pelanggan menyertai peraduan Fuel Penuh Gaya MyDebit Je dengan Kad ATM Anda! yang bermula hari ini 1 Oktober.

Pengurus Besar Petron Malaysia, Faridah Ali berkata, inisiatif itu melambangkan komitmen dan kesungguhan Petron Malaysia menyediakan khidmat dan pengalaman baru kepada pelanggan stesen petrol berkenaan.

“Kami berbesar hati melancarkan satu lagi kempen yang menarik bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) kini melalui kerjasama Tourism Malaysia untuk membantu mempromosikan pelancongan domestik melalui kad ATM MyDebit.

“Kaedah pembayaran di stesen kami terbukti lebih cepat, lebih selamat dan lebih mudah dan kami berharap lebih ramai pelanggan akan dapat mencubanya.

“Kempen ini juga bertujuan menggalakkan pelancongan domestik bagi merancakkan semula sektor yang kian pulih kesan daripada Covid-19.

“Walaupun berlakunya wabak ini, kami tetap mahu memacu pengalaman pelanggan yang terbaik sambil menyumbang kepada pemulihan negara kita,” katanya pada majlis perasmian Fuel Penuh Gaya – MyDebit Je dengan Kad ATM Anda! sempena Kempen Cuti-Cuti Malaysia oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.

Faridah berkata, kempen berkenaan adalah siri kedua selepas kempen FUEL-YoooH MyDebit Je dengan Kad ATM Anda! yang berlangsung awal tahun ini sempena pelancaran penerimaan kad ATM MyDebit di stesen minyak Petron.

“Petron Malaysia percaya lebih ramai pelanggan akan menggunakan kemudahan ATM MyDebit di setiap stesen minyak menerusi pelancaran siri kedua kempen ini.

“Ini adalah kemudahan yang kami sediakan untuk pelanggan. Kami tidak mahu bebankan pelanggan terutama penunggang motosikal.

“Petron adalah rangkaian stesen minyak dalam negara yang pertama menawarkan pembayaran menggunakan kad ATM MyDebit tanpa tahanan RM200 selama tiga hari,” katanya.

Beliau berkata, kempen itu terbuka kepada semua pemegang kad ATM MyDebit dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2020 yang membuat pembelian bahan api RM5 atau lebih dalam satu resit di mana-mana terminal bayaran di luar stesen minyak Petron menggunakan kad ATM MyDebit.