Kuala Lumpur: Honda Malaysia menawarkan tujuh model edisi khas (SE) untuk dimenangi sempena kempen 1 Million Dreams bagi meraikan kejayaan jualan satu juta keretanya.

Kempen itu yang berlangsung dari 25 Februari hingga 24 Mac 2021 menawarkan peluang kepada peserta untuk memenangi model Jazz, All-New City, BR-V, HR-V, Civic, New CR-V dan Accord SE yang dilancarkan bersempena dengannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, kempen itu diadakan sebagai tanda penghargaan syarikat berkenaan terhadap sokongan padu pelanggannya selama ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan berterusannya selama bertahun-tahun ini serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang banyak membantu memberikan sokongan kepada industri automatif,” katanya semasa acara pelancaran kempen 1 Million Dreams Countdown itu secara maya, semalam.

Beliau berkata, model SE berkenaan tampil dengan ciri-ciri menarik tersendiri termasuk warna luaran dua tona, wajah depan dengan perincian merah, cermin sisi dengan garis merah sporty, rim aloi dalam warna hitam dengan perincian merah serta lencana signatur 1 Million Dreams Signature pada kedua-dua bahagian fender depan kereta.

Ishiyama berkata, pelanggan boleh mengambil bahagian dalam mana-mana enam aktiviti yang disediakan oleh Honda Malaysia untuk mendapatkan seberapa banyak penyertaan dan menyerahkannya di mana-mana pengedar sah Honda atau menerusi laman web rasminya.

“Peserta boleh mendapatkan penyertaan berkenaan dengan memuat turun dan mendaftar melalui aplikasi HondaTouch, bermain 1 Million Dreams Quiz Game di laman web rasmi Honda Malaysia, pandu uji kereta Honda, menempah kereta baharu Honda, servis atau baik pulih kereta Honda atau mendaftarkan kereta baharu Honda dalam tempoh kempen ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata, Honda Malaysia juga berusaha untuk menyediakan platform digital menyeluruh bagi pelanggannya dengan meningkatkan aplikasi HondaTouch dan platform pra-tempahan digital dalam era pendigitalan dan norma baharu ketika ini.