PENINGKATAN permintaan terhadap produk berasaskan kayu padu kini membuka peluang kepada Pallet Works meneroka pasaran dengan menawarkan perkhidmatan tempahan khas.

Pengasasnya, Mohd Khairul Helmy Mohd Din berkata, dia memulakan aktiviti perniagaan ini secara serius sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas terbabit dalam skim pemberhentian pekerja.

Katanya, setakat ini sambutan yang diterima daripada pelanggan begitu menggalakkan.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan memilih untuk membuat tempahan khas bagi melengkapkan barangan kediaman mereka.

“Tempahan yang selalu diterima seperti perabot, kabinet dapur, rak kecil, meja makan dan almari.

“Harga yang kami tawarkan bermula serendah RM50 bergantung kepada jenis rekaan dan kayu yang diinginkan pelanggan.

“Buat masa ini, pemasaran Pallet Works banyak dibantu melalui hebahan mulut ke mulut serta media sosial seperti Facebook dan Instagram,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Pallet Works juga komited menjadi pusat sehenti untuk produk kayu dalam tempoh tiga tahun lagi kerana pihaknya melihat permintaan untuk bekalan kayu padu semakin meningkat.

Mohd Khairul berkata, setakat ini perkhidmatan Pallet Works di sekitar Lembah Klang dan merancang untuk meluaskannya ke Negeri Sembilan dan Melaka tahun depan.

“Kami turut menerima tempahan daripada pemilik pejabat, kedai makan, kasut dan pakaian yang meminta Pallet Works menghasilkan perabot bagi menampilkan keunikan premis itu sendiri.

“Buat masa sekarang tempahan yang diterima dapat disiapkan dalam tempoh antara dua ke lima hari mengikut saiz tempahan,” katanya.