PENURUNAN Kadar Dasar Semalaman atau OPR ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat dapat merangsang pelaburan ke atas ekonomi.

Hal ini kerana penurunan OPR bermakna kadar faedah ke atas pinjaman pelaburan menjadi lebih murah.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, OPR ditentukan BNM ini sebagai satu alat kawalan dasar kewangan oleh kerajaan ke atas turun naik ekonomi.

“Ia kadar yang perlu dibayar oleh satu bank yang meminjam dari bank lain.

“Kadar OPR yang rendah bermaksud kadar faedah lebih rendah.

“Dalam keadaan ekonomi seperti sekarang iaitu ekonomi ketika fasa pemulihan pasca Covid-19, penurunan kadar OPR suatu langkah yang bertepatan.

“Apabila kadar OPR rendah, kos pinjaman seperti pinjaman perumahan menjadi lebih murah.

“Maknanya, bayaran ansuran bulanan ke atas pinjaman perumahan menjadi lebih rendah.

“Lebihan yang ada pada tangan peminjam tadi dapat digunakan untuk berbelanja dan seterusnya merangsang ekonomi negara,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bagi mereka yang mempunyai tunai yang besar, tidak digalakkan untuk individu menabung (akibat daripada penurunan OPR).

Justeru katanya, akan wujud kecenderungan untuk individu berbelanja seterusnya merangsang ekonomi negara.

“Moratorium pinjaman akan berakhir pada bulan September 2020.

“Oleh itu, peminjam akan mula membayar ansuran pinjaman kepada institusi kewangan. Bagi mengurangkan beban individu dan menyokong pemulihan ekonomi pasca Covid-19, amat tepat sekali jika OPR diturunkan.

“Selain merangsang ekonomi negara, rakyat juga perlu memanfaatkan sepenuhnya penurunan OPR ini melalui langkah perbelanjaan yang lebih berhemah.

“Perbelanjaan perlulah mengutamakan kepada keperluan berbanding dengan kehendak,” katanya.

Baru-baru ini OPR diturunkan oleh BNM pada 2020 adalah sebanyak 1.25 peratus dengan pengurangan OPR sebanyak empat kali pada tahun ini, iaitu pada Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai lalu.

OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, kini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu sebanyak 1.75 peratus.

OPR diturunkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara berikutan kesan negatif Covid-19 kepada persekitaran ekonomi global.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19