Semua penumpang Malaysia Airlines kini dikehendaki membawa dan memakai topeng muka mereka sendiri berkuat kuasa hari ini (23 April), di lokasi seperti daftar masuk, menaiki kapal terbang, di kabin pesawat, pengeluaran dan pengambilan bagasi semasa ketibaan untuk mengurangkan penularan Covid-19.

Keperluan ini terpakai kepada semua penumpang (tidak termasuk bayi) melakukan perjalanan dalam semua penerbangan domestik, antarabangsa dan sewa khas Malaysia Airlines untuk memastikan kesejahteraan penumpang dan petugas syarikat penerbangan, katanya.

Malaysia Airlines tidak akan menerima penumpang yang tidak mempunyai/memakai topeng muka semasa mendaftar masuk dan menaiki pesawat, katanya.

“Bagi keselesaan penumpang, terutama dalam penerbangan jarak jauh, anda dinasihatkan untuk membawa topeng muka tambahan dan cecair pembasmi kuman tangan untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Penumpang diingatkan untuk menghormati ruang peribadi orang lain dan memerhatikan jarak sosial jika diperlukan serta mematuhi langkah keselamatan lain dalam proses sebelum berlepas dan ketibaan untuk memastikan anda mendapat perjalanan yang selamat.

Keselamatan penumpang dan kakitangannya amat penting kepada Malaysia Airlines.