LAZADA Malaysia menjalin kerjasama dengan TNG Digital dalam memperkenalkan inisiatif #KitaBantuKita yang menawarkan RM6 juta bagi membantu merancakkan semula ekonomi tempatan yang perlahan-lahan pulih akibat pandemik Covid-19.

Ia antara lain membabitkan lebih 320,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro yang menjalankan perniagaan dalam platform Lazada.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow berkata, ekonomi digital menjadi faktor penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia dan pihaknya melihat perubahan ketara dalam lanskap perniagaan dengan lebih banyak PKS tempatan mendigitalkan perniagaan mereka.

“Sejak lima bulan lalu, jumlah penjual baharu di Lazada meningkat lebih daripada 200 peratus apabila lebih ramai pengguna di Malaysia mencari penyelesaian dalam talian untuk keperluan seharian mereka.

“Dengan satu pertiga rakyat Malaysia membeli-belah di platform kami setiap bulan, inisiatif #KitaBantuKita bertujuan membantu PKS kembali bangkit dan mempercepat pemulihan mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Melalui inisiatif berkenaan, pengguna dapat menikmati penjimatan sehingga RM36 melalui baucar dan rebat ketika membeli-belah di Lazada.

Dengan kerjasama TNG Digital, ia mempercepat penggunaan platform dan pembayaran digital lebih besar dalam kalangan pengguna dan peniaga Malaysia, terutama PKS dan perniagaan runcit serta membantu mereka bangkit kembali dan berkembang dalam normal baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Ignatius Ong berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan menggalakkan penggunaan tanpa tunai dalam masyarakat khususnya melalui pemberian RM50 menerusi e-dompet dan baucar diskaun.

“Melalui inisiatif #KitaBantuKita bersama Lazada ini, secara tidak langsung dapat merancakkan pemulihan ekonomi dan menggalakkan pembayaran tanpa tunai menggunakan Touch ‘n Go eWallet,” katanya.