Pihak pengilang sedang menghadapi kesukaran ketara dari segi perolehan dan bergelut untuk mengekalkan perniagaan.

KUALA LUMPUR: Kalangan pengilang-pengilang tempatan mahu kerajaan memperluas Program Subsidi Upah kepada semua pekerja tanpa mengira paras upah, demikian menurut dapatan kaji selidik Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang dijalankan pada 6-10 April lepas.

Seramai 419 responden merangkumi 89.5 peratus syarikat perkilangan dan berkaitan serta perkhidmatan sokongan terbabit turut meminta kerajaan memansuhkan syarat pengurangan jualan/hasil dan melanjutkan subsidi upah itu selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata pihak pengilang sedang menghadapi kesukaran ketara dari segi perolehan dan bergelut untuk mengekalkan perniagaan masing-masing berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Lebih 50 peratus responden berkata perolehan mereka telah merosot melebihi 50 peratus. Ini telah menyukarkan perniagaan untuk mengekalkan operasi masing-masing melangkaui tempoh tiga bulan sekiranya PKP diteruskan dan keadaan kekal sama.

"Sebanyak 40 peratus responden pula berkata mereka hanya mampu mempertahankan perniagaan masing-masing dengan jumlah pekerja semasa untuk tempoh tiga bulan manakala 34.1 peratus lain selama sebulan sahaja," katanya.

Beliau berkata kerajaan turut mengambil maklum mengenai kesukaran dialami majikan yang menyebabkannya membuat pengumuman pada 6 April lepas untuk membenarkan majikan dan pekerja membincangkan terma-terma penggajian, termasuk langkah pengurangan atau penjimatan kos seperti potongan gaji dan cuti tanpa gaji.

"Bagaimana pun, perlu diakui bahawa proses rundingan dengan majikan atau wakil pekerja bukanlah semudah itu untuk kebanyakan majikan," katanya.

Menurut kaji selidik itu, 74 peratus responden menyifatkan program subsidi upah itu tidak memadai bagi mengekalkan pekerja dalam tempoh-tempoh tiga bulan sehingga enam bulan berikutnya tanpa sebarang langkah potongan gaji atau pemberhentian pekerja.

"Sejumlah 74 peratus responden berkata subsidi tersebut perlu merangkumi semua pekerja tanpa mengira tahap upah manakala ada yang mencadangkan supaya had siling ditetapkan pada RM8,000 berbanding RM4,000 ketika ini," kata Soh.

Beliau berkata, 57 peratus responden mahukan subsidi itu melebihi 50 peratus daripada gaji dan 51 peratus lain berasakan tempoh pelaksanaan subsidi itu terlalu singkat dan sepatutnya dijalankan sekurang-kurangnya enam bulan bagi membolehkan majikan mengharungi impak serta susulan COVID-19 dan PKP.

"Memandangkan syarikat tidak berupaya mempertahankan perniagaan dengan jumlah pekerja sedia ada, ada di antaranya (67 peratus) yang mungkin melaksanakan langkah penjimatan kos dalam tempoh tiga bulan hingga enam bulan akan datang untuk mengekalkan pekerja termasuk tidak mengambil pekerja baharu manakala 59 peratus membabitkan langkah cuti tanpa gaji," katanya.

Sebanyak 59 peratus berkemungkinan melakukan langkah menghentikan elaun dan manfaat bukan kontrak, cuti tanpa gaji secara paksa (59 peratus), pengurangan jumlah hari bekerja seminggu (39 peratus), mengurangkan manfaat tertentu yang dipersetujui dalam perjanjian kolektif bagi syarikat yang mempunyai kesatuan (34 peratus) dan mengurangkan jumlah jam kerja sehari (29 peratus).

Kaji selidik itu turut mendapati bahawa 62 peratus syarikat yang mempunyai kesatuan sekerja tidak lagi dapat berunding atau melaksanakan langkah penjimatan kos seperti mengurangkan jumlah hari atau jam bekerja demi menyelamatkan kerja dan menyebabkan 48 peratus terpaksa memilih cara pemberhentian pekerja.

"Sebanyak 63 peratus mengakui mereka mungkin terpaksa melaksanakan langkah penjimatan kos dengan 47 peratus akan berbuat demikian dalam tempoh tiga bulan hingga enam bulan akan datang.

"Majoriti (78.7 peratus) daripada syarikat itu akan melepaskan/memberhentikan sehingga 30 peratus pekerja dengan 27 peratus berkata mereka perlu melepaskan 21-30 peratus pekerja manakala 22 peratus terpaksa memberhentikan 11-20 peratus pekerja," katanya.

Soh berkata responden terbabit turut menggesa kerajaan untuk membenarkan kilang-kilang termasuk bukan yang dikategorikan sebagai keperluan utama untuk menyambung semula operasi dalam tempoh PKP dengan minimum atau sekurang-kurangnya 50 peratus pekerja untuk menampung permintaan tempatan mahu pun eksport.

Selain itu, responden juga mengharapkan pengecualian atau pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tempoh April sehingga Disember dan pengecualian cukai pendapatan untuk Tahun Taksiran 2020 untuk semua syarikat tanpa mengira saiz.

Mereka turut menyarankan supaya cukai pendapatan individu ditetapkan pada skala maksimum 10 peratus; potongan cukai bulanan digantung bagi tempoh enam bulan dan penggantungan penuh levi pekerja asing selama setahun.

Dari segi bantuan kewangan, responden terbabit menyarankan supaya pihak bank tidak mengenakan kadar faedah terkumpul tetapi mengecualikan atau mengurangkan faedah ketika tempoh moratorium dan mencadangkan skim pinjaman mudah RM5 bilion dengan kadar faedah sebanyak dua peratus.

Pinjaman mudah itu akan membolehkan syarikat-syarikat terjejas menampung bayaran modal tetap seperti sewaan dan utiliti serta kos pentadbiran, termasuk gaji.

Bagi aspek kos membabitkan bil utiliti, responden terbabit mengesyorkan pengguna tenaga industri, tanpa mengira jumlah penggunaan kilowatt/bulanan perlu diberi sekurang-kurangnya diskaun 15 peratus bagi tempoh enam bulan akan datang.

Mereka turut mencadangkan bahawa caj permintaan maksimum dimansuhkan untuk pelanggan industri menggunakan voltan sederhana dan tinggi seperti yang terbabit dalam industri pemprosesan simen, besi dan keluli, petroleum dan bahan kimia.

Responden terbabit juga meminta pengurangan tarif gas asli sebanyak 35 peratus sehingga akhir 2020 dan pemansuhan klausa penalti 'Guna atau Bayar' yang dikenakan ke atas pelanggan berdasarkan impak semasa terhadap perniagaan serta penyusutan harga minyak.

— BERNAMA