Kuala Lumpur: Pengguna rangkaian Celcom di beberapa kawasan sedang menghadapi gangguan perkhidmatan untuk data dan suara berikutan masalah teknikal yang dihadapi penyedia rangkaian berkenaan.

Menerusi satu kiriman daripada akaun rasmi Celcom menyatakan bahawa pihaknya berdepan dengan masalah gangguan teknikal.

“Pengguna rangkaian kami di beberapa lokasi seluruh negara sedang menghadapi gangguan bekalan untuk perkhidmatan suara dan data.

“Ini kerana rangkaian kami sedang berdepan dengan masalah gangguan teknikal dan kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan gangguan berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum itu, pengguna rangkaian berkenaan menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap penyedia rangkaian berkenaan apabila didakwa gangguan itu bermula sejak pagi tadi.