Kuala Lumpur: LBS Bina Bhd mengumumkan persaraan pengasasnya, Datuk Seri Lim Bock Seng sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas.

Serentak itu, Lembaga Pengarah melantik Tan Sri Lim Hock San sebagai Pengerusi Eksekutif serta sebulat suara memilih Datuk Wira Lim Hock Guan sebagai Pengarah Urusannya yang baharu berkuat kuasa 1 Mac 2020.

Bock Seng berkhidmat sebagai Pengerusi LBS sejak 6 Disember 2001 dan terbabit dengan pemaju hartanah itu lebih daripada 40 tahun.

Sebelum ini, kumpulan bermula dengan aktiviti pengangkutan, terutama membekal dan mengangkut bahan binaan seperti pasir dan agregat bagi kerja pembinaan dan infrastruktur sebelum menceburkan diri dalam sektor pembinaan sehingga berjaya membina LBS yang dikenali hari ini.

Bock Seng berkata, ia adalah pencapaian istimewa buatnya berkhidmat sebagai Pengerusi LBS selama dua dekad.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan sekerja yang telah berusaha dengan penuh dedikasi di LBS dan bukan sahaja bekerjasama selama bertahun-tahun, malahan setia bersama keluarga LBS sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Bersama-sama kami telah melalui pelbagai cabaran dan jatuh bangun perniagaan terutama sewaktu krisis kewangan Asia sebelum LBS disenaraikan.

“Dengan persaraan ini, saya sangat yakin LBS akan terus cemerlang di bawah pimpinan Tan Sri Lim Hock San dan pasukannya. Beliau dan anggota pengurusan yang lain telah menunjukkan kemampuan mereka untuk terus maju di dalam mengembangkan perniagaan syarikat,” katanya.

Hock San menamatkan pengajian pada 1982 dengan Kepujian Kelas Pertama dalam Kejuruteraan Awam dari University of Wales, United Kingdom.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan LBS pada 6 Disember 2001 dan berjaya mengembangkan perniagaan kumpulan menjadi sebagai sebuah pemaju pembangunan hartanah, insurans dan pelancongan.

Hock Guan pula dilantik sebagai Pengarah Eksekutif LBS pada 6 Disember 2001. Beliau memiliki ijazah dalam bidang Kejuruteraan Awam dari Tennessee Technology University, Amerika Syarikat (AS).

Dengan pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang pembangunan dan pembinaan hartanah, Hock Guan adalah penyumbang utama di sebalik kejayaan pelaksanaan projek LBS di Lembah Klang.