PETRONAS mencatatkan pendapatan sebanyak RM41.1 bilion bagi suku ketiga kewangan berakhir 30 September 2020, penurunan 25 peratus daripada RM55.1 bilion tempoh sama tahun lalu berikutan purata harga realisasi bagi produk utamanya yang rendah.

Selain itu, penurunan itu juga disebabkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah, rosot nilai terhadap aset yang tinggi dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi susulan tinjauan harga minyak dan gas yang rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas mengumumkan hasil kewangan suku ketiga di tengah keadaan pasaran mencabar yang berpanjangan dan ketidakpastian berterusan terhadap harga minyak mentah.

Katanya, kumpulan kekal kukuh dan akan terus menangani cabaran itu dan lebih bersedia menghadapi masa depan industri yang mencabar pada suku berikutnya.

“Selepas bertahan sembilan bulan yang melelahkan, Petronas mencatat sedikit penambahbaikan pada suku ketiga 2020 dibandingkan dengan suku sebelumnya yang disebabkan oleh kelonggaran penutupan secara sporadis yang menyebabkan penyambungan semula kegiatan ekonomi secara bertahap di seluruh dunia.

“Di tengah persekitaran operasi yang berjalan lancar, namun disebabkan pandemik serta turun naiknya harga minyak yang berpanjangan, Petronas menerapkan pandangan yang berhati-hati dan menjangkakan baki tahun ini akan mencabar.

“Kami menjangkakan prestasi kami akan terus dipengaruhi oleh turun naiknya harga minyak yang disebabkan oleh wabak Covid-19 yang berterusan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Bagi tempoh sembilan bulan 2020, kumpulan merekodkan kerugian bersih RM19.9 bilion berbanding keuntungan bersih RM36.4 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, jumlah aset juga menurun kepada RM594.8 bilion pada 30 September 2020 berbanding RM622.4 bilion pada 31 Disember 2019, terutamanya disebabkan oleh penurunan nilai aset pada tempoh terbabit.