PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan kerugian sebelum cukai RM18.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2020 berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) RM383 juta pada suku sama 2019 berikutan kemerosotan mendadak harga produk petroleum.

Ia juga berikutan permintaan yang rendah susulan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Pendapatan dalam suku tahun pertama dikaji menyusut lapan peratus kepada RM6.55 bilion berbanding suku sama tahun sebelumnya, berikutan purata harga jualan rendah sebanyak tiga peratus dan penurunan empat peratus jumlah jualan bagi Mogas, Jet A1 dan Diesel.

Namun, PDB mencatatkan pertumbuhan dalam perniagaan isi rumah gas petroleum cecair (LPG), yang mana jumlah jualan berkembang sebanyak dua peratus serta pertumbuhan 20 peratus dalam pendapatan Kedai Mesra.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, prestasi PDB bagi suku pertama 2020 terjejas oleh kemerosotan harga produk petroleum dan melihat ia akan rendah pada suku kedua kerana berdepan impak PKP.

“Bagaimanapun, kami menjangka tinjauan yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini berikutan melihat sedikit kemajuan dalam harga produk petroleum dan sedikit pertumbuhan dalam permintaan ketika ini dengan penguatkuasaan PKP Bersyarat (PKPB).

“Kami bersiap untuk pemulihan apabila pasaran menjadi normal,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, PDB kekal komited bagi memastikan kecemerlangan operasi sepanjang rantaian nilainya dan melaksanakan strategi pengurangan risiko yang berkesan sebagai tindak balas terhadap persekitaran operasi baharu.

“Kami akan terus fokus kepada mengoptimumkan kos dan mengambil langkah melindungi tunai, yang mana ia akan digabungkan dengan pendekatan pelaburan strategik mantap untuk memastikan kelangsungan perniagaan jangka panjang,” katanya.

Katanya, PDB akan memperkukuh kekuatan kewangan untuk jangka masa terdekat dengan mengurangkan perbelanjaan tidak penting, sambil terus melabur dalam integriti aset dan projek pertumbuhan yang sejajar dengan keutamaan strategi jangka panjangnya.