BUAT pertama kalinya, Ikea Asia Tenggara & Mexico mencatatkan penurunan pendapatan dengan perolehan RM3.4 bilion dalam tahun kewangan disifatkan paling mencabar kali ini, selepas merekodkan pertumbuhan selama lebih satu dekad.

Pengarah Urusan Ikea Asia Tenggara & Mexico, Christian Rojkjaer berkata, krisis Covid-19 mempercepat transformasi digital syarikat susulan peningkatan keperluan yang mendadak terhadap kelengkapan rumah dalam tempoh sekatan pergerakan.

“Krisis ini mengubah perspektif kita terhadap kehidupan di rumah. Ketika mengharungi keadaan yang mendesak, orang ramai telah beralih ke Ikea untuk mewujudkan pejabat rumah, sudut belajar, kawasan aktiviti luar rumah dan dapur yang berfungsi.

“Ramai menyedari betapa pentingnya kediaman dan betapa berbaloinya untuk melabur bagi menjadikan kediaman kita selesa, berfungsi dan indah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, secara keseluruhannya, semua sembilan gedung Ikea di Asia Tenggara mencatatkan jualan RM2.9 bilion antara September 2019 dan Ogos 2020 iaitu penurunan 7.4 peratus bagi tahun kewangan terakhirnya.

Jumlah pendapatan daripada kelima-lima pusat beli-belah Ikea dikendalikan oleh Ikano Centres menyumbang kepada perolehan syarikat berjumlah RM3.4 bilion iaitu penurunan RM274 juta berbanding tahun sebelumnya.

Ikea Asia Tenggara & Mexico adalah antara 12 francais Ikea di seluruh dunia yang mengendalikan gedung-gedung Ikea di Singapura, Malaysia dan Thailand serta portfolio Ikano Centres dengan kira-kira 1,500 penyewa dan empat juta kaki persegi ruang yang boleh disewa.

Katanya, berikutan permulaan operasi e-dagang di ketiga-tiga pasaran Asia Tenggara pada tahun ini, gedung-gedung Ikea mampu melakukan jualan dalam tempoh penutupan yang lama dengan sokongan dan panduan pelbagai pihak berkuasa kerajaan.

“Selain itu, rakan sekerja Ikea juga mengatur operasi sokongan berskala besar dalam tempoh yang singkat. Pasukan ini mendapatkan perkhidmatan pengangkutan tambahan, membuka lebih banyak slot penghantaran dan mengemas kini laman sesawang bagi menampung peningkatan pesanan dalam talian.