AKADEMI Guru Niaga (AGN), pusat pembelajaran dalam talian (online) tempatan menerima peningkatan pendaftaran baharu sehingga 40 peratus daripada pihak yang mahu mempelajari ilmu perniagaan dalam talian.

Pengasasnya, Mohd Noorrizan Mohamad Shafiee berkata, peningkatan itu ketara ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sejak AGN ditubuhkan pada 2015, pihaknya sudah melatih kira-kira 30,000 usahawan secara dalam talian.

“Objektif penubuhan AGN menyediakan platform pembelajaran berniaga dalam talian dan memberi peluang kepada semua orang untuk mempelajarinya.

“Kelebihan berniaga dalam talian dapat menjimatkan masa dan kos.

“Latihan yang kami sediakan lebih kepada copywriting (penulis beriklan), skrip jualan melalui WhatsApp dan laman web serta program pembangunan sistem jualan berautomasi menggunakan e-dagang,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, apabila mahu menceburi bidang perniagaan dalam talian, pastikan modal yang dikeluarkan memfokus kepada tiga bahagian utama iaitu pengeluaran (20 peratus), pemasaran (70 peratus) dan pengurusan bisnes (10 peratus).

“Pastikan cari ilmu bagi membantu perniagaan yang dijalankan tidak tersasar dan gagal.

“Nasihat saya kepada usahawan di luar sana, apabila berdepan dengan kerugian sewaktu PKP ini, tangguhkan segala kehendak diri.

“Fokus kepada model perniagaan baharu, pelajari ilmu yang berkaitan dengan bidang yang mahu diceburi serta bijak melihat peluang yang ada di sekeliling kita,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan