Antara negara yang akan memotong pengeluaran minyak termasuk Mexico iaitu sebanyak 100 ribu tong sehari. – Gambar PIXABAY

VIENNA: Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC bersetuju untuk meningkatkan harga minyak dengan memotong sehingga 10 juta tong pengeluaran sehari.

Jumlah ini bersamaan dengan satu persepuluh daripada pengeluaran minyak global.

Menurut laporan dan kenyataan daripada pelbagai negara pengeluar, langkah berkenaan akan diambil bermula 1 Mei.

Ia turut merangkumi pelbagai peringkat sehingga selepas 2021.

Menurut Menteri Minyak Iran, sebanyak 9.7 juta tong akan dipotong untuk Mei dan Jun.

Antara negara yang akan memotong pengeluaran termasuk Mexico iaitu sebanyak 100,000 tong sehari.

Ini berbanding jumlah asal pemotongan sebanyak 400,000 tong sehari.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan akan memotong pengeluarannya berdasarkan jumlah lebihan yang tidak dapat dilakukan oleh Mexico.

Dalam masa yang sama, dua juta pemotongan tambahan akan dilakukan oleh Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.

Tambah Menteri Minyak Iran, pemotongan lain termasuk 8 juta tong sehari akan bermula Julai sehingga akhir tahun 2020.

Dalam masa yang sama, 6 juta tong sehari akan dipotong untuk 16 bulan bermula 2021.

Langkah ini dijangka meningkatkan harga minyak sebanyak AS$15 setong dalam masa terdekat.