BANK Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bermula hari ini peminjam sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap akan menerima notis pemberitahuan proses penangguhan pembayaran.

Notis itu akan diberikan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan masing-masing berhubung langkah yang perlu diambil bagi menyempurnakan proses itu di bawah moratorium.

BNM dalam kenyataan berkata, susulan daripada pengumuman oleh pihaknya pada 25 Mac lalu, institusi perbankan dalam proses memformalkan perjanjian.

“Ia bagi mencerminkan semakan terhadap syarat pembayaran balik dengan peminjam yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap bagi pelaksanaan moratorium enam bulan.

“Langkah itu adalah bagi memenuhi keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah yang terpakai bagi apa-apa perubahan yang dibuat terhadap syarat perjanjian itu.

“Ini termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan atau jumlah pembayaran berikutan moratorium,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, BNM meminta institusi perbankan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan peminjam atau pelanggan diberikan maklumat jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian.

“Selain menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), institusi perbankan juga akan menyediakan setiap peminjam maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap,” katanya.

BNM berkata, maklumat itu perlu mengandungi jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa perubahan terhadap jumlah pembayaran, yang meliputi jumlah kadar faedah atau keuntungan biasa yang terakru sepanjang tempoh moratorium.

“Peminjam/pelanggan yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian sedia ada.

“Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam/pelanggan mereka untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul/tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium.

“Institusi perbankan juga tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh itu sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang dipersetujui,” katanya.