SEBANYAK 732,000 peminjam yang mengambil moratorium secara automatik kembali meneruskan bayaran ansuran bulanan pinjaman berbanding 336,000 peminjam pada April lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 28 Ogos lalu, nilai moratorium dianggarkan berjumlah RM81.9 bilion.

“Daripada angka ini, sebanyak RM28.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh peminjam individu bernilai RM53.3 bilion.

“Sehingga tempoh sama juga, bank menghubungi lebih dua juta peminjam yang merangkumi individu, PKS dan syarikat lain termasuk perniagaan korporat serta komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran pembiayaan,” katanya dalam Laporan Laksana ke-20 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.

Menurutnya, menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September ini, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang masih terjejas akibat Covid-19 melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar bermula 1 Oktober ini.

“Inisiatif ini bagi menjamin perniagaan dan isi rumah yang benar-benar memerlukan akan terus dibantu melalui akses kepada pembiayaan.

“Penemuan dan pembuatan vaksin Covid-19 secara komersial akan mengambil masa. Oleh sebab itu, kita perlu memastikan sistem perbankan negara kekal utuh dan kukuh untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan di masa hadapan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan bank tempatan sudah mengadakan lebih daripada 100 sesi libat urus membabitkan pihak berkepentingan serta giat mengadakan dialog bagi memastikan peralihan daripada moratorium secara automatik kepada program bantuan yang lebih bersasar dapat berjalan dengan lancar.

“Ini termasuk Kempen Pelan Bayaran Balik Pinjaman (RAC) yang bertujuan memberi khidmat nasihat serta pelan perancangan bayaran balik pinjaman/pembiayaan pascamoratorium,” katanya.

RAC akan diadakan di Persada Johor International Convention Cente, Johor Bahru dan Hotel RAIA, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 12 dan 13 September ini.