TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan saja digunakan untuk membuat aktiviti baru, malah ia turut menjadi ruang untuk ‘mencuci mata’ senarai hartanah yang mungkin dalam pertimbangan untuk dijadikan milik sendiri atau pelaburan.

Berdasarkan kunjungan ke laman iProperty.com.my, terdapat 10 lokasi popular dalam kalangan pemburu hartanah sejak bermula PKP dari 18 Mac hingga 18 April 2020.

Lokasi paling mendapat tumpuan adalah di The Tamarind, Tanjong Tokong, Pulau Pinang dengan 15.16 peratus paparan.

Lokasi berkenaan yang menawarkan kediaman jenis apartmen servis itu menjadi tumpuan kerana terletak hanya 3 kilometer dari pusat bandar George Town.

“Ramai pencari hartanah memilih Pulau Pinang kerana tarikan budaya, pantai yang indah dan makanan yang enak.

“Malah, lokasi The Tamarind yang terletak berhampian pantai menjadi antara faktor utama ia menjadi pilihan,” katanya.

Lokasi yang menjadi carian kedua tertinggi adalah di One KL yang terletak berhampiran KLCC dengan 13.6 peratus paparan.

Kediaman jenis kondominium ini menjadi pilihan kerana terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

“One KL juga menawarkan pemandangan memukau ibu kota,” katanya.

Manakala, senarai carian ketiga tertinggi adalah di Seni Mont Kiara, Mont Kiara iaitu hartanah jenis kondominium.

“Ia menjadi rebutan kerana seni binanya yang bergaya dan lokasinya yang berhampiran beberapa kawasan tumpuan utama.

“Penghuni Seni Mont Kiara hanya perlu memandu 15 minit untuk ke pusat membeli-belah 1Utama, Publika dan KLCC,” katanya.