Kuala Lumpur: Pemberian tunai secara one-off di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) mencapai tahap pelaksanaan tinggi pada kadar 94 peratus dengan pembayaran sebanyak RM14.7 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemberian tunai itu membabitkan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Sara Hidup (BSH), pemandu e-hailing dan teksi dan pesara kerajaan.

“Bagi inisiatif yang membabitkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan pula di bawah Prihatin seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah, moratorium dan eCAP Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membabitkan penyaluran RM108 bilion, pelaksanaan mengikut jadual pada tahap 85 peratus,” katanya.

Menurutnya, bagi pemberian tunai secara one-off di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), seperti e-Penjana, bantuan kepada golongan terjejas serta geran secara one-off kepada pengendali taska dan tadika yang berdaftar yang membabitkan pembayaran RM647 juta, tahap pencapaian pelaksanaan adalah pada kadar yang tinggi iaitu 68 peratus.

“Bagi inisiatif yang membabitkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan pula, seperti lanjutan subsidi upah (asal), My30, PEKA B40 dan Shop Malaysia Online yang membabitkan penyaluran RM4.27 bilion, pelaksanaan mengikut jadual pada tahap 43 peratus.

“Ini tahap yang memberangsangkan memandangkan inisiatif Penjana mula dilaksanakan secara berfasa antara Jun dan September,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-24 pelaksanaan Prihatin dan Penjana di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, Program Subsidi Upah (PSU) dilanjutkan lagi di antara tiga hingga enam bulan di bawah pakej Kita Prihatin.

“Setakat 25 September lalu, 2020, RM11.93 bilion subsidi upah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja,” katanya.

Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan dengan peruntukan RM1.5 bilion, menurutnya, secara keseluruhannya 43,998 pekerja berjaya mendapat pekerjaan melalui program itu.

Jumlah itu merangkumi 34,476 orang di bawah umur 40 tahun, 5,456 orang bagi golongan berusia di antara 40 hingga 60 tahun, 284 Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 3,782 perantis.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19