Mustapa Muhamed berkata, usaha itu bagi memastikan kelestarian setiap perancangan dasar ekonomi negara bersifat jangka panjang. – Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Intipati Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) perlu dipinda mengikut keperluan semasa sebelum dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Muhamed berkata, usaha itu bagi memastikan kelestarian setiap perancangan dasar ekonomi negara bersifat jangka panjang.

"Kita terpaksa tangguh berikutan kesan daripada COVID-19. Ini kerana, perubahan terhadap landskap ekonomi yang ketara perlu diberi perhatian seperti pendigital perniagaan dan cara kita bekerja.

"Faktor ini yang menjadikan kita terpaksa tangguh pembentangan RMK-12," katanya dalam sidang media selepas melancarkan e-Dompet dan Kewangan Digital MyPay di sini pada Jumaat.

Sebelum ini,  Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, RMK-12 yang sepatutnya dibentangkan pada 6 Ogos ini akan ditangguhkan ke Januari tahun depan.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Dapat Vista (M) Sdn. Bhd., Sabri Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Fass Payment Solution Sdn. Bhd., Chris Leong; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Mustapa bagaimanapun berkata, kerajaan masih belum memutuskan bilakah perkara itu akan diumumkan.

"RMK-12 akan dibentang awal tahun depan, tetapi belum ada tarikh khusus lagi," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, sebanyak 40 peratus daripada RM60 bilion perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 telah diguna kerajaan.

Jelas beliau, terdapat empat komponen utama menerusi projek pembangunan yang menjana pertumbuhan ekonomi negara.

"Yang pertama perbelanjaan pembangunan daripada peruntukan kerajaan, kedua daripada kerjasama awam swasta, ketiga projek-projek yang dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan terakhir oleh pihak swasta sendiri.

"Keempat-empat komponen ini yang menggerakkan dan merangsang ekonomi negara," katanya.