Kuala Lumpur: Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) menawarkan sistem pembayaran mudah alih terbaharu menerusi e-dompet ShopeePay yang kini diterima sebagai pembayaran di stesen mereka di seluruh negara.

Pengurus Besar Pemasarannya, Lawrence Chuah berkata, syarikat sentiasa berusaha menawarkan yang terbaik kepada pelanggan menerusi kualiti petrol, diskaun menarik dan kemudahan yang secukupnya.

“Kerjasama dengan ShopeePay bagi menyediakan promosi menarik serta menambah kemudahan kepada pelanggan yang sebelum ini terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta menjejaskan perjalanan ke sesuatu destinasi.

“Ia juga selaras dengan saranan kerajaan yang diumumkan dalam MyDigital untuk mendorong penggunaan pembayaran tanpa sentuhan yang juga kini menjadi objektif kami menuju ke arah pendigitalan untuk urusan transaksi di semua stesen,” katanya.

BHPetrol juga sering mendahului pasaran dengan mengutamakan keperluan pelanggan dengan pendekatan progresif dan sentiasa menyesuaikan dengan perkembangan teknologi dan kaedah semasa.

Sementara itu, Ketua ShopeePay, Alain Yee berkata, memandangkan sektor ekonomi dibuka semula secara berperingkat dan rakyat Malaysia memulakan aktiviti harian dan perniagaan seperti biasa sudah pasti permintaan petrol juga semakin meningkat.

“Kerjasama ini memberi manfaat kepada rakyat Malaysia serta pengguna ShopeePay menikmati pulangan tunai menarik serta lebih penjimatan kepada pelanggan BHPetrol,” katanya.