LBS Bina Sdn Bhd (LBS) akan terus membina produk berdasarkan tiga teras utama iaitu mampu dimiliki, komuniti dan perhubungan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San berkata, sebagai ‘Pemaju Perumahan Rakyat’, LBS sentiasa mengambil pendekatan dengan memahami keperluan pembeli rumah dan akan terus berusaha untuk memberi yang terbaik buat pelanggan LBS.

“Dengan strategi yang tepat dan sokongan daripada inisiatif kerajaan, pasaran hartanah akan terus meningkat.

“Pengenalan semula Kempen Pemilikan Hartanah (HOC) banyak membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri.

“Sepanjang tempoh HOC tahun 2020, duti setem sudah dikecualikan dan had pembiayaan sebanyak 70 peratus bagi pinjaman perumahan ketiga dan seterusnya bernilai lebih dari RM600,000 sudah dinaikkan.

“Pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga akan meringankan beban pembeli rumah,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, setakat 31 Julai 2020, LBS mempunyai jualan tanpa bil sebanyak RM2.176 bilion, yang juga jumlah besar bagi keuntungan syarikat untuk dua ke tiga tahun yang akan datang.

Sehingga kini, LBS memiliki bank tanah seluas 1,452 hektar dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM31 bilion yang terletak di kawasan strategik Lembah Klang, Pahang, Perak, Johor dan Sabah.

Sementara itu, LBS merekodkan pendapatan berjumlah RM167 juta dan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM12 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020.

Sepanjang tempoh berkenaan, LBS mencatatkan keuntungan berjumlah RM466 juta.

Pendapatan rendah ini adalah berikutan penutupan tapak pembinaan dan pejabat jualan sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

Sumbangan pendapatan dan PBT adalah dari dua projek perbandaran utama LBS iaitu LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Residensi Bintang Bukit Jalil, Zenopy Residence dan LBS Skylake Residence.

Sehingga kini, LBS mempunyai 17 projek yang sedang berjalan dengan anggaran GDV berjumlah RM4.4 bilion.