Kuala Lumpur: Inisiatif Laluan Sutera Digital dijangka bakal memberi peluang perniagaan di antara China dan Malaysia dengan menyasarkan generasi celik Internet.

Inisiatif yang menggalakkan komunikasi dan kerjasama antara kedua-dua negara ini terutama kepada golongan muda dilancarkan oleh Persatuan Industri Kebudayaan dan Hiburan China (CCEA).

Berdasarkan laporan Biro Statistik Kebangsaan China, sebanyak 16 entiti perniagaan tipikal dalam industri budaya digital mencatatkan pulangan tahunan sebanyak RMB523.6 bilion (RM319.5 bilion) dengan kadar pertumbuhan 15.5 peratus.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia sekali gus menunjukkan ekonomi digital memiliki potensi tanpa had yang melangkaui sempadan.

“Saya menyokong penuh inisiatif seperti ini kerana ia memberi platform beraspirasi kepada golongan muda bagi menyumbang idea dan bakat mereka kepada ekonomi dan manfaat kepada kedua-dua negara.

“Saya juga optimis insiatif seperti ini dapat membantu mengukuhkan kerjasama dan persahabatan antara Malaysia dan China ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden CCEA, Liu Jinhua berkata, pendigitalan akan mewujudkan peluang perniagaan baharu bagi memacu ekonomi ke tahap seterusnya.

Menurutnya, pendigitalan yang memanfaatkan kekayaan sumber pelancongan kebudayaan kedua-dua negara, integrasi antara budaya dan pelancongan bersama perindustrian tradisional membolehkan realiti ini menjadi kenyataan.