Kuala Lumpur: MR DIY Group (M) Berhad terus mengekalkan komitmen memerangi wabak Covid-19 di negara ini menerusi tawaran jualan pelitup muka di bawah harga kawalan.

Pengerusinya, Datuk Azlam Shah Alias berkata, sebagai peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, pihaknya menyediakan pelbagai barangan keperluan pengguna pada harga mampu milik.

Katanya, MR DIY menawarkan pelbagai jenis pelitup muka yang memenuhi piawaian termasuk pelitup muka pakai buang dan boleh digunakan semula.

“MR DIY menjadi antara tempat kegemaran orang ramai mendapatkan pelitup muka kerana ia dijual pada harga rendah iaitu RM9.90 sekotak (mengandungi 50 keping) dan pelitup muka kain pula serendah RM1.20.

“MR DIY komited memenuhi keperluan pengguna bagi semua lapisan masyarakat melalui kepelbagaian produk kami pada harga berpatutan.

“Malah, sejak negara berdepan Covid-19, MR DIY tidak pernah berhenti untuk bersama-sama turun padang menghulurkan bantuan peralatan perlindungan kepada petugas barisan hadapan kesihatan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Azlam berkata, MR DIY memperuntukkan kira-kira RM3.8 juta nilai sumbangan membabitkan 2,000 peralatan perlindungan diri (PPE), 300,000 pelitup muka dan 10,000 pelindung muka termasuk bahan keperluan untuk membuat pelindung muka kepada pihak yang memerlukan.

Beliau berkata, pihaknya yakin menerusi 670 rangkaian MR DIY di seluruh Malaysia, usaha dan inisiatif syarikat menghulur bantuan akan sentiasa berterusan.

Ketua Unit Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, pemakaian pelitup muka penting bagi mencegah Covid-19.

“Dengan harga yang ditawarkan MR DIY, saya yakin orang ramai mampu mendapatkan pelitup muka.

“Paling utama untuk memastikan kita sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan menggunakan pembasmi kuman di mana saja kita berada,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19