KEPUTUSAN kerajaan membenarkan sektor agrikomoditi beroperasi penuh melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat mengelak sumber pendapatan pekebun kecil menyusut dan membendung pertumbuhan ekonomi daripada terencat, menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu turut membantu mengelak pendapatan perniagaan dan individu daripada terjejas, sekali gus menghindari kebanyakan perniagaan daripada terpaksa ditutup.

“Keputusan itu yang merangkumi agrikomoditi diharap berupaya memberi impak positif kepada ekonomi negara tanpa mengenepikan kesejahteraan rakyat khususnya 977,206 orang pekebun kecil agrikomoditi,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dibenar beroperasi mulai 4 Mei melalui pelaksanaan PKPB.

Beliau turut menegaskan sekiranya PKP diteruskan untuk sebulan lagi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan mencatatkan kerugian RM35 bilion dan menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Mohd Khairuddin berkata, nilai eksport bagi sektor agrikomoditi didapati menyusut dalam tempoh PKP.

Di bawah PKPB, sektor agrikomoditi dibenar beroperasi merangkumi aktiviti perladangan dan perkilangan sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf dan biodiesel.

Selain daripada aktiviti huluan dibenarkan beroperasi, aktiviti hiliran turut mendapat kelulusan merangkumi dagangan agrikomoditi termasuk jualan, belian, penggredan, pengangkutan dan pengumpulan serta input pertanian melibatkan anak benih, baja, racun, peralatan, alat ganti jentera dan mesin.

“Demi memastikan keselamatan rakyat terjamin, semua sektor agrikomoditi yang telah diluluskan untuk pengoperasian penuh wajib memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, kegagalan mematuhi SOP satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pihak ladang dan kilang berkenaan.

Beliau berkata, perlu ditegaskan bahawa tiada sebarang aktiviti dibenarkan bagi kawasan yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).