Kuala Lumpur: Bank Rakyat menasihatkan pelanggannya untuk bersedia menguruskan pembiayaan mereka seperti biasa selepas tempoh moratorium tamat pada Rabu lalu. .

Bank Rakyat dalam kenyataan berkata, penting bagi mereka membuat persiapan terutamanya buat pelanggan yang membuat potongan gaji secara automatik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Pelanggan yang melakukan potongan gaji terutamanya menerusi Biro Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), bayaran pembiayaan bermula Oktober ini sekiranya mereka tidak layak menerima lanjutan moratorium atau bantuan bersasar yang ditawarkan bank.

“Bank Rakyat menjelaskan bahawa tiada potongan ansuran bulanan yang dikenakan dari April hingga September kepada pelanggan yang menerima moratorium automatik.

“Buat pelanggan yang tidak mengambil moratorium atau membuat pembiayaan baharu selepas tempoh moratorium berkuat kuasa pada April lalu, potongan gaji mereka berjalan seperti biasa,” katanya.

Bank Rakyat juga menyeru supaya pelanggan yang masih mengalami sebarang kekeliruan atau terdapat sebarang masalah berkaitan pembiayaan mereka pasca moratorium ini untuk segera ke cawangan atau menghubungi Pusat Panggilan di talian 13000800800.

Pelanggan disaran untuk melayari laman web korporat di www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter) untuk sebarang maklumat lanjut.