LEMBAGA Pembangunan Langkawi (Lada) menyasarkan kedatangan 2.5 juta pelancong ke pulau peranginan itu hingga akhir tahun ini menerusi kempen Langkawi Great Sale (LGS).

Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Dr Hezri Adnan berkata, inisiatif yang diusahakan melalui penghasilan Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (Helang) itu julung kali diadakan dengan kerjasama daripada penggiat industri pelancongan tempatan.

“Sehingga Julai 2020, Pulau Langkawi menerima kehadiran pelancong seramai 1.1 juta orang dengan peningkatan yang mendadak pada Julai seramai 189,000 orang iaitu selepas tamat tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dan kerajaan memberi kebenaran rentas negeri.

“Sekiranya jumlah ini dapat dikekalkan atau meningkat sehingga 200,000, tidak mustahil usaha untuk mencapai sasaran 2.5 juta pelancong ke Pulau Langkawi dapat dicapai,” katanya selepas majlis pelancaran kempen itu, di sini.

Hezri berkata, pada 2019, Langkawi menerima kedatangan 3.92 juta pelancong tempatan dan juga antarabangsa.

Kempen promosi LGS yang bermula 1 September hingga 31 Disember depan itu membabitkan semua pemain industri pelancongan Langkawi yang terdiri daripada pengusaha produk pelancongan, pengusaha hotel, ejen pelancongan, pemandu pelancong serta pengusaha kedai bebas cukai.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan