Kuala Lumpur: Digi Telecommunications Sdn Bhd kini melancarkan pelan pascabayar yang ditambah baik bagi menghubungkan lebih ramai rakyat negara ini dalam usaha untuk kembali bangkit daripada impak pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Praveen Rajan berkata, portfolio baharu itu menyediakan lebih banyak ciri-ciri pelan yang dipermudah berserta nilai hebat terutamanya dalam mengharungi tempoh mencabar seperti sekarang.

“Digi Postpaid atau pascabayar ini dilengkapi dengan pelan internet yang dipermudah tanpa pembahagian kuota yang rumit, di samping mengekalkan internet berkelajuan tinggi tanpa had untuk membolehkan pelanggan menggunakan internet pada bila-bila masa yang mereka inginkan,” katanya pada majlis pelancaran tersebut di sini, pada Selasa.

Praveen berkata, pelanggan yang ingin menghubungkan seluruh ahli keluarga mereka kini mempunyai pilihan untuk mendaftar sehingga enam talian keluarga tambahan dengan diskaun 50 peratus bagi setiap talian dan serendah RM20 sebulan.

Malah, bagi membantu ramai lagi rakyat Malaysia mendapat lebih nilai, portfolio baharu tersebut turut memberi fleksibiliti kepada pelanggan memilih memilih perkhidmatan tambahan percuma untuk memenuhi keperluan mereka seperti rebat di Google Play dan Apple App Store, kuota internet tambahan serta perkhidmatan jalur lebar mudah alih, kata beliau.

“Berita baik untuk pelanggan yang mahu mendapatkan telefon pintar baharu kerana pelan Digi Postpaid baharu ini turut mengurangkan komitmen pelan bulanan pembiayaan telefon daripada RM90 kepada RM60 sebulan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan penambahbaikan pelan Digi itu juga bertepatan pada masanya ketika sebahagian besar daripada kehidupan masa kini dijalankan secara dalam talian akibat Covid-19.

“Apatah lagi ketibaan vaksin di Malaysia membawa sinar harapan yang membolehkan negara memberi fokus bagi pembukaan semula ekonomi domestik secara beransur-ansur dan pemulihan daripada pandemik.

“Sejajar dengan itu, Digi bersedia menjadi lebih daripada sekadar rakan hubungan yang berwibawa untuk semua rakyat Malaysia baik individu, komuniti mahupun perniagaan dengan menghubungkan semula mereka dan keluarga, rakan-rakan serta pelanggan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini tiga juta rakyat negara ini menggunakan pelan pascabayar Digi.

Menurutnya, portfolio pascabayar baharu itu akan turut turut menyokong usaha Digi menghubungkan lebih ramai isi rumah di Malaysia menerusi sambungan jalur lebar gentian optik dengan menawarkan penjimatan tambahan apabila pelanggan menggabungkan pelan Digi Postpaid serta Digi Fibre dalam satu akaun.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19