AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) menasihatkan pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mengambil Pembiayaan ASB untuk menghubungi bank masing-masing bagi menerima kadar pembiayaan lebih rendah, selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), baru-baru ini.

ASNB dalam kenyataan berkata, peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan lebih rendah kerana penurunan OPR memberi kesan kepada Kadar Asas (KA) dan Kadar Pembiayaan Asas (KPA) yang menentukan kadar Pembiayaan ASB yang dikenakan pihak bank.

“Sekiranya pelabur masih belum menerima pengurangan dalam kadar Pembiayaan ASB mereka, kami menasihatkan mereka supaya segera menghubungi bank bagi menyemak semula kadar pembiayaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

ASNB berkata, pihaknya juga telah mewujudkan Pusat Khidmat Nasihat Pembiayaan ASB yang boleh dihubungi mulai hari ini melalui Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-77308899 untuk membantu pelabur menyemak semula strategi dan struktur pembiayaan mereka.

“Mereka hanya perlu menghubungi nombor berkenaan untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan,” katanya.

BNM telah mengurangkan OPR sebanyak empat kali pada tahun ini, iaitu pada bulan Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai lalu.

Secara keseluruhannya, OPR telah diturunkan sebanyak 1.25 peratus untuk tahun 2020.