Kuala Lumpur: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham (SSPA) dengan PCC SE untuk memperoleh 50 peratus saham dalam anak syarikatnya di Malaysia, PCC Oxyalkylates Malaysia Sdn Bhd (PCC-OM).

SSPA itu menandakan kemasukannya ke pasaran oxyalkylates yang sedang berkembang.

Dengan pemerolehan ini, PCG dan PCC SE merancang membina kemudahan oxyalkylates di dalam Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih, Terengganu untuk menghasilkan etoksilat dan poliol polieter.

Pembinaan kemudahan itu dijangka akan dimulakan pada 2021, sementara pengeluaran dijadualkan akan dimulakan pada 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, itu satu lagi kejayaan PCG dalam usaha mengembangkan segmen perniagaan bahan kimia khusus.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan PCC SE, pesaing surfaktan global, dalam usaha pertama kami memasuki pasaran oxyalkkylates kerana pengalaman, kepakaran dan kemampuan mereka memberikan strategi yang sesuai dengan rancangan pertumbuhan kami.

“Kami akan terus meneroka pelaburan dalam lebih banyak teknologi dan aset yang akan mengembangkan portfolio bahan kimia bernilai tinggi, seterusnya mengekalkan kesinambungan masa hadapan PCG,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Oxyalkylates adalah sekumpulan bahan kimia yang terdiri daripada etoksilat, surfaktan bukan ionik, dan poliol polieter.

Bahan kimia ini digunakan untuk pembuatan pelbagai produk.

Etoksilat digunakan antara lain, dalam pembuatan bahan cuci, produk penjagaan rumah dan produk penjagaan diri, sementara poliol polieter digunakan untuk menghasilkan tilam busa dan aplikasi bahan upholsteri.

Permintaan bagi kedua-dua bahan kimia ini dijangka meningkat terutama di kawasan Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

PCC SE, beribu pejabat di Duisburg, Jerman, pesaing surfaktan global dengan pengetahuan mapan yang diperoleh selama beberapa dekad dalam pengembangan dan pengeluaran surfaktan dan poliol.