Dr Mahathir yang berusia 94 tahun merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke empat dan ke tujuh. – Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Dengan kemudahan teknologi, pasaran kini seluas dunia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, oleh kerana kemudahan yang membenarkan komunikasi di antara dua negara di penghujung dunia, pasaran jual beli bukan lagi terhad kepada bandar-bandar terdekat.

“Hari ini, pasaran sangat luas, jadi pengusaha terutamanya dalam sektor pembuatan tidak harus mengehadkan jualan produk di pasaran tempatan sahaja.

“Gunakan platform dalam talian untuk tingkatkan pemasaran produk dan juga cari jalan untuk menambahbaik mod komunikasi dengan pelanggan,” ujar Dr Mahathir dalam satu temu bual secara maya di laman YouTube dan Facebook Creative Cloud Community (CCC), pada Rabu.

Dr Mahathir yang sedar akan cabaran yang dialami pelbagai industri di tengah-tengah krisis kesihatan COVID-19 menasihati agar orang ramai tidak berputus asa untuk meneruskan perniagaan.

“Pasti terdapat pelbagai cara baharu untuk melakukan perniagaan, seperti kemudahan fasiliti yang membenarkan komunikasi secara maya seperti mana kita sedang lakukan ini, dan kami sangat beruntung kerana teknologi sangat canggih pada masa ini,” katanya.

Beliau percaya, industri perniagaan dalam talian yang sudah berkembang, akan terus bertkembang lagi.

Walau bagaimanapun beliau percaya bahawa terdapat banyak lagi yang harus dipelajari berkaitan inovasi dan teknologi demi kegunaan dan keuntungan semua.

Dr Mahathir merupakan tetamu eksklusif dalam siaran langsung program CCC, di mana topik yang dibincangkan berteraskan tema “Bagaimana Mengubah Krisis kepada Peluang”.

CCC merupakan komuniti kreatif yang menghubungkan individu kreatif dalam perniagaan, organisasi dan institusi pengajian dalam satu ekosistem.