PASARAN kewangan domestik bertambah baik pada April lalu apabila penghindaran risiko mula reda susulan pelaksanaan rangsangan monetari dan fiskal pada skala besar di seluruh dunia.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sorotan bulanan April berkata, wujud tanda pelonggaran terhadap kawalan dikenakan bagi membendung pandemik Covid-19 pada peringkat global.

Bagaimanapun, BNM berkata, sentimen terus dipengaruhi ketidakpastian berlarutan berhubung kesan pandemik ke atas prospek pertumbuhan global.

“Dalam keadaan sentimen yang semakin pulih ini, pasaran kewangan domestik pada amnya bertambah baik sejajar perkembangan pasaran kewangan serantau.

“Berikutan sokongan pelabur institusi domestik, FBM KLCI naik 4.2 peratus manakala kadar hasil MGS 10 tahun menurun 49.2 mata asas,” katanya.

Bagaimanapun, nilai ringgit menyusut sedikit iaitu 0.5 peratus berbanding dolar AS, didorong terutama oleh aliran keluar portfolio bukan pemastautin.

BNM juga berkata, bank mengekalkan mudah tunai mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan dan memenuhi keperluan mendesak.

“Nisbah perlindungan mudah tunai sistem perbankan meningkat sedikit kepada 144.0 peratus pada April berbanding 141.4 peratus pada Mac.

“Pertumbuhan tahunan deposit diterima daripada individu meningkat kepada 6.2 peratus, kadar paling kukuh sejak Januari tahun lalu. Nisbah pinjaman kepada dana serta nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti masing-masing pada 82.5 peratus dan 71.8 peratus,” kata bank pusat.