TELEKOM Malaysia Berhad (TM) memasang stesen pemancar 5G di dua pusat kuarantin bagi kes Covid-19 iaitu di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh, Selangor.

Pemasangan stesen pemancar 5G itu membolehkan pasukan barisan hadapan, perubatan serta pesakit yang dimasukkan ke pusat kemudahan terbabit menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang dipertingkatkan menerusi sambungan 5G.

Kedua-dua pusat kuarantin itu sudah diperuntukkan sebanyak 50 unit terminal Akses Wayarles Tetap 5G secara percuma yang memberikan sambungan WiFi sehingga 500Mbps kepada pengguna dan semua penggunaan WiFi menerusi rangkaian 5G itu juga adalah percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, TM berbesar hati diberi peluang oleh kerajaan untuk melaksanakan pemasangan stesen pemancar 5G di dua pusat kuarantin itu.

“Selain lanjutan kepada 5GDP baru-baru ini, inisiatif ini sebahagian daripada usaha tanggungjawab korporat kami dalam membantu kerajaan ke arah membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, TM mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kepercayaan dan bantuan sepanjang proses itu.

“Kami akan terus mencari lebih banyak cara untuk kami membantu mengurangkan impak pandemik ini kepada ekonomi, serta pelanggan kami, anggota, pasukan barisan hadapan dan golongan yang memerlukan; sambil memastikan perkhidmatan kami terus diberikan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19