PROTON memanggil semula model Proton Perdana bagi menggantikan beg keselamatan Takata yang juga inisiatif global untuk alatan itu.

  Ia melibatkan Proton Perdana yang dibina dari tahun 2012 sehingga Ogos 2018 sahaja.

  Proses ini selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuhraya Kebangsaan Amerika (NHTSA) yang memerlukan penggantian

inflator beg keselamatan bukan kering.

  Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata Proton sudah memulakan proses penggantian sejak Januari tahun ini dan tidak melibatkan model jenama itu yang lain.

  “Sebanyak 6,342 unit Perdana terjejas sehingga 18 Ogos 2020 dan pusat servis kami sudah melakukan penggantian untuk 5,625 atau 87.5 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.

  Proton menyeru pemilik model Perdana yang terlibat sekiranya tidak dimaklumkan kerana maklumat yang tidak lengkap untuk menghubungi pusat servis yang berhampiran bagi urusan temujanji.

  Tiada bayaran dikenakan bagi penggantian inflator beg keselamatan ini.