OYO Malaysia dan rakan kongsinya di seluruh negara bersedia untuk membantu ribuan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan memerlukan tempat tinggal bersih untuk melakukan kuarantin sendiri dengan menawarkan diskaun sehingga 60 peratus di hotel kendaliannya di seluruh negara.

Dengan kadar bermula dari serendah RM19 semalam, OYO turut menawarkan penginapan selama tujuh hari bernilai RM450, penginapan 14 hari (RM800) dan penginapan 30 hari (RM1,500) bagi tempoh penginapan lebih lama.

Ketua Negara OYO Malaysia dan Singapura, Tan Ming Luk berkata, tawaran itu sebagai respons kepada keperluan yang lebih banyak untuk pusat kuarantin di negara ini bagi menampung kira-kira 40,000 rakyat Malaysia dari seluruh dunia yang dijangka pulang dan memulakan tempoh kuarantin mandatori mereka selama 14 hari.

“Jumlah ini akan meningkat dengan ketara dalam tempoh beberapa hari lagi apabila lebih ramai rakyat Malaysia, yang bekerja dan menetap di Singapura, pulang berikutan keputusan republik itu menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan untuk membendung Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa ini, mereka yang kembali dari Singapura dan tidak mempunyai simptom, dikehendaki melakukan kuarantin sendiri selama 14 hari, manakala mereka yang mempunyai simptom akan dilakukan pemeriksaan dan dimasukkan ke hospital sekiranya mereka positif Covid-19.

Rangkaian hotel itu turut memperluas tawarannya kepada warga asing yang terkandas di Malaysia dan petugas yang bekerja dalam perkhidmatan penting, yang menghadapi kesukaran untuk berulang-alik ke tempat kerja, berikutan pelarasan waktu operasi perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Tan berkata, syarikat terus menerima permintaan daripada rakan kongsi hotel mereka di bandar-bandar lain yang mahu dimasukkan dalam senarai hotel yang sudah membantu orang ramai di seluruh negara.

“Senarai ini akan dikemas kini secara berkala dan saya menggesa mereka yang memerlukan bilik untuk menghubungi talian OYO kami bagi mendapatkan senarai hotel yang dikemas kini,” katanya.

Kami akan terus menerima tempahan dan daftar masuk di Malaysia daripada pelanggan tempatan yang bekerja dalam perkhidmatan penting, serta pelanggan luar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19