Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat hari ini, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus, terendah sejak dilaksanakan pada 2004.

BNM dalam kenyataannya berkata, keadaan ekonomi global juga terus pulih dengan lebih banyak negara melaksanakan pengurangan langkah-langkah pembendungan pandemik Covid-19 serta sokongan dasar yang kukuh.

“Pembukaan semula kemudahan pengeluaran telah menyebabkan aktiviti perkilangan dan perdagangan disambung semula. Bagaimanapun, pemulihan dalam sektor perkhidmatan adalah lebih perlahan.

“Selain itu, keadaan kewangan telah bertambah baik walaupun kegiatan mengelak risiko masih tinggi.

“Prospek pertumbuhan juga masih tertakluk pada risiko pertumbuhan lebih rendah dan ketidakpastian, terutamanya disebabkan oleh risiko penularan semula pandemik dan keadaan pasaran pekerja yang lebih lemah,” katanya.

Menurut BNM, aktiviti ekonomi Malaysia terus pulih daripada paras terendah pada April lepas manakala penunjuk berfrekuensi tinggi terkini memaparkan keadaan pasaran pekerja, perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan terus bertambah baik.

“Pemulihan ekonomi turut disokong oleh pakej rangsangan fiskal di samping langkah-langkah monetari dan kewangan.

“Peningkatan ini dijangka berterusan pada 2021, disokong oleh pemulihan dalam permintaan luar negara dan pengembangan perbelanjaan sektor swasta,” katanya.

Bagaimanapun, BNM berkata, kadar pemulihan yang merentas sektor dijangka tidak sekata dengan aktiviti ekonomi dalam beberapa industri kekal di bawah paras sebelum pandemik selain peningkatan pasaran kerja yang lebih perlahan.

“Prospek ini masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan lebih rendah terutamanya akibat ketidakpastian berterusan mengenai perkembangan pandemik di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, BNM berkata, tekanan inflasi dijangka terus menyederhana pada 2020 dengan purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun ini memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah dan purata lebih tinggi pada 2021.

“Oleh itu, prospek akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia. Inflasi asas dijangka rendah dalam keadaan kapasiti ekonomi yang berlebihan,” katanya.

Bank pusat itu juga menyifatkan pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif tahun ini akan terus merangsang ekonomi.

Malah, berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari sebagai wajar dan akomodatif.

“Bank Negara Malaysia akan terus komited untuk memanfaatkan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” katanya.

Hari ini adalah mesyuarat kelima MPC bagi 2020 dan mesyuarat terakhir tahun ini dijadual diadakan pada 3 November depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19